Definisi 

Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah. Dalam beberapa hal, fidyah ini hampir sama dengan kaffarah, bagaimanapun sebahagian fuqaha membezakan fidyah dengan kaffarah di mana kaffarah tidak diwajibkan melainkan kerana dosa yang telah dilakukan, sedangkan fidyah merupakan bayaran denda untuk sesuatu amal ibadat yang tertinggal atau dilaksanakan secara tersalah.

 

Jenis fidyah

Terdapat tiga jenis fidyah iaitu:

  1. Fidyah tawanan
    - apa-apa yang dibayar untuk membebaskan tebusan.
  2. Fidyah puasa bagi mereka yang tidak berpuasa dengan sebab tidak mampu untuk sembuh atau wanita yang hamil dan menyusukan anak
    - memberi makan orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.
  3. Fidyah memotong rambut dari kepala bagi mereka yang sedang melakukan ihram dengan sebab penyakit-penyakit yang menimpanya
    - menyembelih seekor kambing

Dalil pensyariatan

"(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, bolehlah ia berbuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan suka rela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui."

Surah al-Baqarah, ayat 184

Berkata Ibnu 'Abbas: "Diberi rukhsah (kelonggaran) kepada orang yang telah terlalu tua (yang tidak terdaya lagi berpuasa) untuk berbuka dan (menggantinya dengan) memberi makan seorang miskin bagi setiap hari (ia tidak berpuasa) serta tidak wajib qadha' ke atasnya"

Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Hakim

 

Hukum membayar fidyah

Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah adalah wajib dan justeru, hukum fidyah adalah WAJIB ke atas mereka yang ditentukan oleh Syarak. Dalam kes puasa misalnya, Allh S.W.T berfirman, maksudnya:

"..dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.."

 

Sebab-sebab dikenakan fidyah

  1. Meninggalkan puasa kerana tua

  2. Meninggalkan puasa kerana sakit yang berlanjutan

  3. Meninggalkan puasa kerana mengandung atau menyusukan anak
    Sekiranya bimbang akan keselamatan anak, wajib membayar fidyah disamping menggantikan puasa yang ditinggalkan.
    Sekiranya bimbang akan keselamatan diri sendiri, maka wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan tanpa perlu membayar fidyah.

  4. Meninggal dunia dengan ketiadaan uzur (tidak sakit) sebelum sempat menggantikan puasa yang ditinggalkannya.
    Waris mereka wajib menggantikan puasa atau membayar fidyah.

  5. Melewatkan mengganti puasa
    Orang yang berhutang puasa yang belum dijelaskan sehingga timbulnya Ramadan yang lain wajib membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan. Fidyah akan berganda sekiranya ditangguhkan sehingga melangkaui Ramadan berikutnya.

 

Kadar bayaran fidyah

Kadar fidyah adalah satu mud atau satu cupak makanan asasi sesebuah negara. Di Malaysia, ukuran satu mud yang diterima pakai adalah bersamaan dengan 675 gram dan makanan asasi yang digunakan untuk membayar zakat fitrah, fidyah dan kaffarah adalah beras. Nilaian satu mud beras adalah berbeza-beza mengikut negeri dan mengikut harga pasaran beras.

Berdasarkan penetapan kadar zakat fitrah(bersamaan dengan nilai 1 gantang beras) untuk negeri Sabah pada tahun 1436H/2015M bersamaan RM7.00, oleh yang itu, kadar fidyah semasa adalah RM1.75 sahaja. Cara untuk mendapatkan nilai tersebut adalah seperti berikut:

1 gantang

1 cupak

= 4 cupak
= RM7.00

= RM7.00/4
RM1.75

Waktu membayar fidyah

Fuqaha sepakat menyatakan bahawa waktu membayar fidyah bermula sebaik sahaja ibadah berkenaan tidak dapat disempurnakan. Bagaimanapun, waktunya luas dan tidak terhad pada satu tempoh yang tertentu. Namun demikian, digalakkan ia disegerakan kerana dikhuatiri tidak dapat dilaksanakan jika tertangguh.
Jika ia tidak sempat ditunaikan oleh orang yang wajib ke atasnya, ia berpindah kepada waris atau walinya. Bagi fidyah puasa yang ditangguhkan hingga melangkaui Ramadan berikutnya, ia akan berganda mengikut pandangan dalam Mazhab Syafii.