Definisi

Kaffarah adalah menunaikan kewajipan berbentuk harta atau tubuh badan disebabkan meninggalkan sesuatu tanggunghawab atau kewajipan hukum Syarak. Dengan ini, ia boleh dirumuskan sebagai satu tindakan yang boleh menghapuskan dosa sama ada dengan membebaskan hamba, bersedkah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu.

 

Sebab dan kesalahan yang dikenakan kaffarah

  1. Bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadan
  2. Melanggar sumpah
  3. Melanggar nazar
  4. Ila' 
    Sumpah yang dibuat oleh seorang suami yang mampu bersetubuh tetapi tidak menyetubuhi isterinya selama tempoh lebih empat bulan atau tanpa menyebut tempoh atau dengan selama-lamanya.
    Hukum ila' adalah haram kerana telah mengharamkan persetubuhan dengan isteri yang halal dinikahi.
  5. Zihar
    Lafaz suami yang menyamakan mana-mana anggota zahir isteri dengan anggota wanita mahram secara kekal.
    Hukum zihar adalah haram. Setelah cukup syarat dan sabit zihar maka haram bagi suami menyetubuhi isterinya sebelum menunaikan kaffarah. Jika suami tidak mahu menunaikan kaffarah, maka dia mesti menceraikan isterinya.
  6. Membunuh dengan tidak sengaja

 

Kadar kaffarah

Kaffarah kerana bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadan dan zihar

  • Memerdekakan seorang hamba; atau
  • Berpuasa dua bulan berturut-turut; atau
  • Memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

Kaffarah sumpah, nazar dan ila'

  • Memberi makan 10 orang fakir miskin, satu mud setiap orang; atau
  • Memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin; atau
  • Memerdekakan hamba.

Kaffarah kerana membunuh tanpa niat

  • Memerdekakan seorang hamba; dan
    • Membayar diat sekiranya orang yang dibunuh itu adalah seorang Muslim atau daripada kaum kafir yang tidak memerangi Islam; atau
    • Tidak perlu membayar diat sekiranya orang yang dibunuh itu adalah seorang Muslim di negara orang kafir yang memusuhi Islam; atau
  • Berpuasa selama dua bulan berturut-turut bserta taubat nasuha.


Waktu membayar kaffarah

Penunaian kaffarah tidak ditentukan oleh Syarak dengan tempoh masa tertentu. Oleh itu, ia boleh ditunaikan pada bila-bila masa setelah melakukan sesuatu kesalahan yang melibatkannya. Jika tidak ditunaikan sehingga meninggal dunia, maka akan menyebabkan kesukaran kepada waris kerana menurut kebanyakan ulama, segala yang melibatkan harta mesti ditunaikan oleh waris. Dengan kata lain, kaffarah itu akan diwarisi.